tendang Parti UMNO sejauh mata memandang....

KORANG MEMANG BEST SEBAB FOLLOW PARIT.COM

03 February 2010

Adil dan Telus: Bacaan Dunia dan Akhirat.


Beberapa hari kebelakangan ini berlaku terlalu banyak peristiwa yang berkaitan dengan urus-tadbir sama ada yang melibatkan kerajaan Malaysia, kerajaan Negeri bahkan di UKM sendiri berlaku krisis urus tadbir.

Namun begitu, dalam tulisan saya pada kali ini, saya akan memberi penumpuan yang lebih kepada krisis urus-tadbir di UKM kerana konteksnya yang lebih kecil. Hakikatnya perkara urus tadbir ini bersangkutan dengan pelbagai jenis krisis yang berlaku dalam masyarakat dunia ini umumnya, dan Malaysia ini khususnya.

Pertamanya, apabila menyentuh mengenai aspek urus tadbir, sebagai seorang Muslim, kita perlu melihat dalam konteks kita sebagai hamba yang ditugaskan sebagai khalifah yang bertanggungjawab dalam segala urusan hidup kita. Setiap jawatan yang kita pegang, akan disoal satu-persatu di hadapan Allah di Hari Akhirat kelak. Adil dan telus jika dibaca mengikut bacaan akhirat, adalah melakukan sesuatu urusan dengan pertimbangan yang tepat dan jujur serta sesuai dengan kehendak dan nilai-nilai Islam. Masalahnya, bagaimanakah adil dan telus ini menurut bacaan dunia?

Justeru persoalan mengenai urus tadbir yang baik perlulah difahami dan dihayati dengan sebaiknya supaya kadar kerosakan akibat krisis urus tadbir dapat dikurangkan. Urus tadbir merupakan proses bagaimana sesuatu keputusan itu dibuat dan bagaimana keputusan itu dilaksanakan (atau tidak dilaksanakan). Manakala urus tadbir yang baik pula didefinisikan sebagai satu sistem pentadbiran yang telus, bertanggung jawab, adil, demokratik dan responsif kepada kehendak rakyat.

Kesalahan utama masyarakat dalam memahami konsep urus tadbir yang baik ini ialah menganggap takrifan "baik" sebagai mempunyai makna yang abstrak dan implementasi yang pelbagai. Maka, baik dinilai dari sudut peribadi semata-mata tanpa melihat kepada ciri-ciri teknikal tentang apa yang dikatakan sebagai urus tadbir yang baik.

Telus misalnya, bukanlah bermaksud kudus dan memuaskan hati semata-mata. Sebaliknya telus ialah apabila rakyat serta segala komponen dalam pentadbiran tersebut berupaya mengetahui dan memahami dengan jelas bagaimana sesuatu proses dan keputusan dibuat dan dilaksanakan. Urusan kewangan misalnya, tidak terhenti sekadar memilih ahli yang pakar atau beramanah untuk menguruskan akaun, bahkan setiap aliran keluar masuk duit atau aset perlulah diketahui oleh setiap individu juga entiti yang terlibat.

UKM masih gagal dalam bab ketelusan apabila tuntutan untuk membentangkan akaun kegiatan pelajar masih gagal dipenuhi sehingga sekarang. Seingat saya, ketika saya menjadi Naib Yang DiPertua Persatuan Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan (07/08) hal ini telah dibangkitkan. Malah saya sendiri bertanyakan soalan ini kepada Dato' Wahid, TNC ketika itu dalam satu perjumpaan bersama pemimpin-pemimpin persatuan Mahasiswa. Malangnya, sehingga sekarang akaun kegiatan pelajar UKM masih menjadi misteri nusantara yang gagal dijelaskan statusnya. Untuk rekod, sekurang-kurangnya RM 50,000 dimasukkan setiap tahun, ditambah dengan segala jenis pemasaran yang dilakukan dengan susah payah oleh Mahasiswa sendiri. Namun, aliran keluar masuk akaun ini seolah-olah menjadi milik mutlak pentadbiran UKM yang angka sebenar kandungannya dirahsiakan.

Merujuk kepada rajah "Good Governance" di atas, kedaulatan undang-undang juga menjadi indikator penting dalam menentukan urus tadbir yang baik. Kedaulatan undang-undang ialah apabila undang-undang mengatasi semua individu dan tiada individu yang terlepas daripada undang-undang. Dalam konteks undang-undang, hak asasi manusia perlulah dipelihara terutamanya mereka yang lemah dan ditindas. Sekiranya undang-undang sedia ada tidak melindungi kaum yang lemah dan ditindas, undang-undang ini dianggap GAGAL.

Undang-undang juga boleh dikaitkan dengan sistem yang mengatur urusan pentadbiran. Maka, dalam konteks ini, tiada individu atau kelompok yang dikecualikan daripada mengikut sistem yang sedia ada. Jika kita perhatikan, UKM sekali lagi gagal dalam soal ini apabila kelompok yang dianggap "anti-establishment" sering gagal dalam mendapatkan hak mereka sama ada di kolej mahupun di peringkat pusat sendiri. Hak untuk bersuara dan berpersatuan juga dinafikan melalui Sistem Penilaian Kompetensi Generik (SPKG) yang secara jelas mendatangkan keuntungan untuk sesetengah pihak dan kerugian untuk pihak yang lain.

Pilihanraya Kampus yang telah berlangsung di UKM baru-baru ini telah memperlihatkan kegagalan yang Maha Dahsyat UKM dalam soal urus tadbir ini. Bermula daripada proses membubarkan PMUKM sehinggalah kepada proses pengumuman keputusan, secara jelas menunjukkan urus tadbir UKM perlu dirawat dengan segera. Mahasiswa yang sepatutnya menjadi pemain utama dalam proses pilihanraya ini dinafikan hak untuk terlibat secara langsung dalam proses pilihanraya ini, apabila mereka hilang hak untuk diwakili dan mewakili secara bebas dan tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur yang tidak sihat.

Elemen ugutan, penafian hak wakil calon semasa tempoh pengundian dan pengiraan, juga ketidak-telusan pentadbiran dalam mengumumkan keputusan telah menimbulkan pelbagai reaksi yang tidak senang di kalangan Mahasiswa. Malangnya, berdasarkan pengalaman saya sepanjang 5 tahun di UKM ini, semangat untuk mengubah dna merawat keadaan ini selalunya akan luntur dan tidak berpanjangan. Hanya sebilangan kecil sahaja Mahasiswa yang sanggup untuk bersengkang mata dan bertungkus-lumus dalam memperjuangkan isu ini secara konsisten setiap tahun.

Kedaulatan undang-undang ialah apabila undang-undang mengatasi semua individu dan tiada individu yang terlepas daripada undang-undang. Dalam konteks undang-undang, hak asasi manusia perlulah dipelihara terutamanya mereka yang lemah dan ditindas. Sekiranya undang-undang sedia ada tidak melindungi kaum yang lemah dan ditindas, undang-undang ini dianggap GAGAL.

Saya sendiri, terlibat dalam membuat tuntutan selama 4 tahun berturut-turut. Malah tuntutan saya ini juga adalah kesinambungan tuntutan abang-abang dan kakak-kakak saya terdahulu semenjak AUKU dan sistem baru pilihanraya kampus diperkenalkan. Rakan-rakan saya yang kini sedang berentap dengan "jentera kerajaan" juga sedang menyambung perjuangan ini. Saya yakin, mereka sedikitpun tidak akan gentar, semangat mereka juga akan terus membakar.

Namun, mereka sangat-sangat memerlukan sokongan seluruh warga UKM sama ada di kalangan Mahasiswa mahupun kakitangan akademik sendiri untuk bersatu mengubah dan merawat keadaan UKM yang semakin kritikal ini. Sedarlah bahawa setiap daripada kita akan dipertanggungjawabkan ke atas setiap tindakan dan amalan kita. Malah diam kita juga akan dipersoalkan di hari akhirat kelak. Oleh itu, jangan mendiamkan diri, bangun dan bersatu Memimpin Perubahan!

: : KACA PERMATA : :

No comments: