tendang Parti UMNO sejauh mata memandang....

KORANG MEMANG BEST SEBAB FOLLOW PARIT.COM

01 April 2010

Hisham janji siasat dakwaan Norizan ditembak polis

Norizan Salleh hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendesak supaya tindakan diambil terhadap anggota polis yang didakwanya bertindak tidak mengikut undang-undang dengan menembak dan mengasarinya dalam satu kejadian dalam Oktober tahun lalu.


Memorandum tersebut diserahkan kepada Hishammuddin dibangunan parlimen pada kira-kira jam 12.20 tengah hari.

Norizan, 30, (kanan) yang ditemani peguamnya N. Surendran, turut berpeluang bertemu dengan Hishammuddin selama kira-kira 10 minit untuk menceritakan keadaan yang dialaminya akibat kejadian tersebut.

Turut bersama beliau ialah ahli parlimen Batu Tian Chua dan juga wakil Kapar S Manikavasagam.

Hishammuddin dalam kenyataan ringkas yang dibacakan oleh pegawainya, Datuk Markiman Kobiran berkata, beliau akan menyiasat dakwaan itu dan juga mendapatkan maklum balas daripada PDRM.

Memorandum berkenaan, yang turut ditandatangani PKR, DAP, HRP dan empat ahli parlimen juga menggesa menteri supaya menjalankan siasatan segera ke atas kes Norizan.

Memorandum berkenaan juga menyifatkan kes tersebut sebagai "cubaan membunuh" dan "serangan kejam" ke atas Norizan.

Kes itu juga dijadikan asas bagi tuntutan supaya rang undang-undang penambahbaikan PDRM (IPCMC) dibentangkan di parlimen dan supaya cadangan untuk membentuk Suruhanjaya Polis Diraja dilaksanakan.

Dalam sidang media terdahulu di lobi parlimen, Norizan berkata beliau tidak mempunyai apa-apa rekod jenayah sebelum ini dan tidak sepatutnya diperlakukan demikian oleh anggota polis berkenaan.

Ibu tunggal itu mendakwa ditembak sebanyak lima kali oleh polis dalam kejadian berkenaan, ketika menumpang sebuah kereta bersama tiga orang rakannya.

Tambahnya, beliau kemudiannya ditendang dan dipijak oleh anggota polis berkenaan yang mengheretnya keluar daripada kenderaan tersebut dalam keadaan cedera parah.

Tulang rusuknya juga patah, manakala sebutir daripada lima peluru yang memasuki badannya juga hampir mengenai jantungnya dan terpaksa dikeluarkan melalui pembedahan di Institut Jantung Negara.

Katanya lagi, beliau terpaksa menanggung perbelanjaan rawatan berjumlah hampir RM18,000 akibat kejadian tersebut.

Tambahnya, beliau sebelum ini telah membuat laporan polis dan juga membuat aduan kepada Biro Aduan MCA dan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), namun setakat ini, menurutnya, tiada tindakan dikenakan ke atas anggota polis berkenaan.

Peguamnya Surendran pula berkata, pihaknya akan menyaman PDRM atas tindakan itu, namun lebih penting lagi adalah untuk memastikan anggota polis berkenaan dikenakan tindakan setimpal.

Malaysiakini

No comments: